Menjelaskan Beberapa Kesulitan Ejaan

Tuesday, January 08, 2013 PCL 8 Comments


Dari semasa ke semasa, orang bertanya tentang beberapa aspek ejaan. Kebanyakan soalan berkait dengan hukum ejaan bahasa Melayu. Tetapi ada juga yang terbit daripada hakikat bahawa penanya kurang faham tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, oleh sebab mungkin soalan-soalan tersebut merupakan kesulitan bagi yang berkenaan, pada kali ini rasanya elok dijawab tiga soalan yang telah dikemukakan.

Tiga soalan tersebut ialah:
a. Jika “unit” dieja sedemikian (yakni bermula dengan huruf “u”), mengapa “yuran” tidak dieja “uran”?
b. Jika “lembap” dieja demikian (yakni berakhir dengan huruf “p”), mengapa “jawab” tidak dieja “jawap”?
c. Mengapa wujud “keluar” dan “ke luar”? Mengapa tidak diejakan sama?
Soalan-soalan ini terbit daripada kekeliruan penyoal tentang cara mengeja perkataanperkataan tertentu, terutama perkataan yang dipinjam daripada bahasa lain.
Sebenarnya tidak ada kaitan langsung antara “unit” dengan “yuran”. “Yuran” ialah perkataan Melayu dan memang dieja dan disebut sedemikian. Tidak ada sebab mengapa “yuran” perlu diubah ejaannya menjadi “uran”.

“Unit” pula berasal daripada bahasa Inggeris yang dieja sebagai “unit”. Malangnya, huruf “u” dalam bahasa Inggeris mempunyai beberapa cara penyebutannya. Satu cara sebutan “u” ialah sebagai “yu” seperti dalam “unit”, “usage” (penggunaan) dan “urea” (sejenis baja). Huruf “u” juga boleh berbunyi seperti huruf “a”, misalnya dalam perkataan “industry” (industri), “up” (di atas) dan “usher” (pengiring tamu). Pada kedudukan lain pula, “u” berbunyi seperti huruf “e” pepet, seperti dalam “urban” (bandar), “urge” (dorongan) dan “upon” (ke atas). Akhir sekali, “u” disebut juga sebagai “u” seperti dalam “put” (letak) dan “suitable” (sesuai).

Secara bandingan, bunyi “u” dalam bahasa Melayu hanya satu, sebagaimana yang terdapat dalam perkataan “ular”, “ubi”, “buku” dan “satu”. Dalam hal ini, sistem ejaan bahasa Melayu lebih tersusun daripada sistem ejaan bahasa Inggeris.

Apabila kita meminjam perkataan “unit” daripada bahasa Inggeris, kita tidak melihat bagaimana perkataan itu disebut dalam bahasa asalnya, tetapi hanya meminjam bentuk visualnya, iaitu “unit”. Kita kemudiannya menyebut mengikut sistem bunyi bahasa kita, iaitu “u + nit”. Oleh itu, tidak timbul mengapa kita harus mengejanya dan menyebutnya sebagai “yu + unit” sebab dalam bahasa Melayu huruf “u” bunyinya “u”.
Begitu juga dengan “lembap dan jawab” juga tidak ada kaitan antara kedua-duanya. “Lembap” ialah perkataan Melayu asli dan dieja sebagaimana disebut, iaitu dengan huruf “p” di akhir kata. Dalam bahasa Melayu, huruf “b” tidak hadir di akhir kata. Yang ada ialah perkataan yang berakhir dengan huruf “p”, misalnya “ucap” dan “garap’.

Perkataan “jawab” pula dipinjam daripada bahasa Arab, yang huruf “b” boleh hadir di akhir perkataan. Kerana kita tahu bahawa perkataan itu berakhir dengan huruf “b”, maka kita eja dengan huruf “b”, maka lahirlah “jawab”. Tetapi dari segi sebutan, banyak orang Melayu menyebutnya sebagai “jawap”. Oleh itu, apabila ditambah akhiran “-an”, maka kata terbitan yang lahir ialah “jawapan”.
Akhir sekali ialah perkataan “keluar” dan frasa sendi nama “ke luar”. “Keluar” ialah kata kerja, yang antara lain, bermaksud bergerak dari dalam ke arah luar sesuatu tempat. Contoh dalam ayat: Saya keluar pada pukul lapan pagi. “Ke luar” ialah frasa sendi nama yang terdiri daripada kata sendi nama ‘ke” dan kata nama “luar”, sebagaimana juga dengan “di luar”. Maka itu, tidak mungkin dua perkataan yang berlainan bentuk ini dieja sama.


PEDOMAN BAHASA Bersama 
Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim



8 comments:

  1. assalamualaikum PCL...susah juga kan nak ubah sendiri pula x boleh mcm mana nak buat ek...:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. @mamaMaszull,..kena selalu buat penulisan jg pembacaan dalam susunan tata bahasa yg betul.

      Delete
  2. Menarik...dan lambakan pinjaman kata kata santifik/IT dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, menjadikan isu sebegini makin kompleks..:)

    ReplyDelete
  3. bagus bro.. ramai sebenarnya yang agak konpius tentang benda2 ni...

    ReplyDelete


[PENAFIAN]
www.nazlee.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.